PENGENALAN










Kemahiran Hidup merupakan satu mata pelajaran bercorak amali yang diajar dalam Tahap II Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Mata pelajaran ini digubal untuk mengembangkan keupayaan dalam bidang reka bentuk dan teknologi serta perniagaan dan keusahawanan. Bidang ini dapat dikuasai melalui penguasaan kemahiran praktis, pengetahuan serta pemupukan sikap yang positif berasaskan teknologi dan keusahawanan. Ia mendedahkan tentang kemahiran asas, pengetahuan yang berkaitan serta nilai dan sikap yang perlu dipupuk seperti berdikari, inovatif, kreatif, tabiat kerja yang baik, dan sikap yang positif.



Mata pelajaran Kemahiran Hidup ini memerlukan bilik khas untuk dijadikan tempat Pengajaran dan Pembelajaran mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementertian. Seiringan dengan itu, pihak Pentadbiran SK Luyang telah mewujudkan satu bilik khas untuk dijadikan Bengkel Kemahiran Hidup sejajar dengan keperluan pendidikan terkini. Kewujudan Bengkel ini akan menarik minat murid terhadap Mata Pelajaran Kemahiran Hidup selaras dengan Objektif Kemahiran Hidup iaitu sebagai elemen untuk menyalurkan dan mengembangkan bakat, minat dan estetika murid dalam bidang kemahiran hidup. Mata pelajaran ini lebih kepada aspek amali dan dengan wujudnya bengkel ini pihak sekolah dapat meningkatkan kualiti asas kemahiran hidup seterusnya menjadikan ianya sebagai satu mata pelajaran yang paling digemari. Guru-guru akan lebih mudah untuk menyampaikan pengajaran dengan lebih interaktif.